
MELAKA: Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Melaka di sini, petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, bot itu ditahan semasa rondaan rutin oleh anggota penguat kuasa di kedudukan 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Kling, kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, bot itu dikendalikan seorang jurumudi berusia 34 tahun yang sedang membawa beberapa pemancing.
“Pemeriksaan mendapati bot terbabit melanggar syarat lesen apabila jenis enjin digunakan adalah Yamaha dan tidak sepadan dengan yang dinyatakan dalam lesen bot iaitu Mercury.
“Individu itu kemudian ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, pengusaha bot penumpang diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk memastikan lesen dan dokumen berkaitan adalah sah serta sesuai dengan keadaan sebenar bot.
“Kita siasat mengapa enjin tidak sama kerana jika berlaku apa-apa pihak insurans tidak ‘cover’ (tiada perlindungan insurans).
“Justeru, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini bagi memastikan keselamatan penumpang dan pematuhan undang-undang di perairan negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.