Tumpuan :
Luar Negara

BRICS semakin “kukuh dan penting” – Presiden Brazil

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden China Xi Jinping, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov bergambar semasa sidang kemuncak BRICS di Johannesburg, Afrika Selatan 22 Ogos 2023. – FOTO: Reuters

BRASILIA: BRICS kini menjadi “lebih berkuasa, lebih kukuh dan lebih penting” sejak semakin banyak negara bakal menyertai blok ekonomi yang sedang pesat membangun itu, kata Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Selasa.

“Saya fikir dunia tidak lagi sama selepas perluasan BRICS, sekurang-kurangnya dalam perbincangan ekonomi.

“Blok itu boleh melancarkan mata wang biasa untuk memudahkan perdagangan antara ahli kerana kita tidak perlu meneruskan dagangan dengan dolar.

“Kita boleh berunding dengan mata wang kita tanpa masalah. Kita perlu melakukannya dan meluluskan untuk menteri kewangan membincangkan sepanjang tahun bagi melihat sama ada, apabila tiba sidang kemuncak seterusnya, kita boleh mewujudkan mata wang rujukan untuk eksport,” kata Lula lapor Xinhua.

Beliau berkata inisiatif itu bukan bertujuan untuk menolak dolar, sebaliknya berfungsi untuk meningkatkan ekonomi Brazil.

“Ia memberi manfaat kepada Brazil dan perdagangan Brazil,” katanya.

Pada sidang kemuncak di Johannesburg di Afrika Selatan, kumpulan BRICS yang terdiri Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan mengumumkan permulaan proses untuk menambah keahlian yang bakal menyaksikan beberapa negara menyertai blok itu pada Januari 2024, termasuk Argentina, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia dan Iran. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini