
MARANG: Tindakan sekumpulan pelajar membuat bising sebagai tanda meraikan selepas selesai menduduki kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Taman Rekreasi Pulau Kekabu di sini, kelmarin mengundang padah apabila ditahan polis.
Bukan itu sahaja, pelajar yang ditahan turut diarah beratur dan menunaikan solat Asar secara berjemaah di surau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.
Selain itu, mereka turut diberikan nasihat berkaitan keselamatan dan peraturan jalan raya oleh Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan ketika dokumentasi dijalankan.
Sementara itu, Mohd Sofian berkata, seramai 59 pelajar diperiksa dengan 58 daripadanya pelajar lepasan SPM manakala seorang lagi pelajar berusia 15 tahun dalam Operasi Samseng Jalanan.
Dalam operasi selama tiga jam bermula 12 tengah hari itu, sebanyak 45 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebanyak 120 keping dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.
“Semua penunggang motosikal terbabit adalah pelajar yang selesai menghadapi kertas akhir peperiksaan SPM.
“Kebanyakan pelajar yang terbabit dari salah sebuah sekolah di daerah Marang dan Hulu Terengganu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Sofian berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu yang ditunggang dua pelajar berusia 17 tahun.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular video berdurasi 29 saat menunjukkan sekumpulan pelajar sedang beratur di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.