Tumpuan :
Nasional

Buat laporan palsu dakwa cuba diculik, wanita Singapura akan didakwa hari ini

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Wanita warga Singapura yang sebelum ini mendakwa cuba diculik di sebuah pusat beli-belah di Taman Abad, di sini, akan didakwa di mahkamah hari ini, kerana membuat laporan palsu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, wanita berusia 45 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, jam 9 pagi ini.

“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor dan menerima arahan pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Terdahulu, pada 22 Januari lalu, polis menerima laporan berkaitan kejadian cubaan culik wanita warga asing itu yang dikatakan berlaku kira-kira jam 1 petang, 10 Januari lalu.

Kumar berkata, wanita itu mendakwa didatangi seorang lelaki dan seorang wanita yang menjual teh kepadanya sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Dia mendakwa dipaksa oleh kedua-dua individu itu untuk menghidu teh yang dipromosikan menyebabkan dia merasa pening dan tidak sedarkan diri.

“Hasil siasatan polis mendapati, insiden cubaan culik itu tidak berlaku kerana berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) serta bukti-bukti teknikal mengesahkan tiada sebarang pergerakan dia dikesan di lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, kejadian cubaan culik itu dikesan tular di beberapa platform media sosial dan mendapat maklum balas negatif daripada netizen yang mempercayai bahawa kejadian itu benar-benar berlaku.

“Pempengaruh media sosial turut mengulas dengan mengaitkan isu ini sebagai ancaman kepada keselamatan pelancong ke negeri Johor.

“Polis Johor memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini adalah terkawal dan kita komited memantau senario keselamatan negeri ini.

“Kami ingin memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada awam terutama menyentuh isu keselamatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini