comscore
Tumpuan :
Nasional

Buat laporan palsu kena samun, sebab duit isteri habis dibelanja – Polis

Foto hiasan

CHUKAI: Gara-gara tidak dapat memberi wang perbelanjaan kepada isterinya, seorang pembantu kedai sanggup membuat laporan palsu kononnya dia disamun oleh dua lelaki, petang tadi.

Lelaki terbabit yang berusia 29 tahun itu membuat laporan itu di Balai Polis Pasir Gajah kerana duit gajinya sudah habis dibelanja

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki itu membuat laporan mendakwa dia disamun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Y150ZR dalam kejadian di Jalan Ibok-Paman, kira-kira jam 4.20 petang.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa diacukan pisau di leher oleh kedua-dua suspek yang berjaket hitam dan tidak dapat mengenal pasti suspek kerana suspek memakai topi keledar penutup penuh.

“Lelaki yang tinggal di Kampung Pasir Gajah Kemaman itu juga turut mendakwa dia tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangi suspek.

“Dia membuat laporan dia tidak dicederakan suspek namun mendakwa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM1,500 serta seutas rantai dan loket emas bernilai RM700,” katanya.

Hanyan berkata, hasil siasatan yang dilakukan polis, suspek akhirnya mengaku dia membuat laporan palsu itu kerana wang gaji yang diterimanya habis dibelanjakan serta tidak mampu memberi wang perbelanjaan kepada isterinya.

“Lelaki itu juga mengaku rantai emas yang dilaporkan disamun itu sebenarnya dipajak di sebuah kedai emas dan masih belum diambil,” katanya.

“Siasatan polis juga mendapati lelaki berkerja sebagai pembantu kedai hardware itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Baca juga: Nak tangguh kahwin sebab tak cukup duit, lelaki buat laporan palsu disamun

Loading...
Terkini