comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Buat tuntutan tak masuk akal, waris Sulu mungkin diperguna golongan tertentu dari Barat’ – Azalina

KOTA TINGGI:  Waris Sulu mungkin dipergunakan golongan tertentu dari Barat, bagi menuntut Malaysia membayar tuntutan tidak masuk akal mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia berikutan waris Sulu menggunakan platform Mahkamah Timbang Tara Komersial dalam membuat tuntutan itu, berbanding Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda.

“Itu sebabnya saya cabar mereka (waris Sulu) jika betul nak tuntut dari segi hak kononnya ini (Sabah) kawasan dan hak mereka, pergilah tuntut di ICJ.

“Jadi sebenarnya saya melihat ini sebagai satu taktik untuk mereka dapat duit daripada Malaysia dengan menggunakan platform undang-undang perniagaan menerusi Mahkamah Timbang Tara Komersial.

“Saya melihat waris Sulu ini dipergunakan oleh segolongan tertentu di negara barat hanya untuk proses menuntut Malaysia membayar duit kepada mereka,” katanya selepas meninjau pembinaan Mahkamah Pengerang, di Bandar Penawar, hari ini.

Azalina berkata, kerajaan juga akan meneliti keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang akan membuat keputusan ‘partial award’ berhubung tuntutan waris Sulu.

“Saya maklumkan barisan peguam, jika waris Sulu kalah dalam tuntutan mereka, Malaysia perlu tuntut kos supaya bayar balik ganti rugi kos kita melantik peguam antarabangsa yang begitu tinggi,” katanya.

Azalina turut mendedahkan peguam waris Sulu menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Saya dimaklumkan Peguam Negara, dua tiga hari lalu peguam waris Sulu menulis surat yang amat biadap, yang mendakwa mereka bukan saja ada hak ke atas Sabah malah berhak ke atas tuntutan AS$14.92 bilion (RM68.5 bilion) yang kini kononnya turut dikenakan faedah AS$16 bilion (RM73.46 bilion).

“Surat peguam waris Sulu itu sudah dijawab Peguam Negara. Namun, kita juga menyatakan jangan memandang rendah keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam berdaulat dan merdeka.

“Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet mengeluarkan arahan supaya kita lawan habis-habisan tuntutan tidak masuk akal waris Sulu kerana Malaysia negara bebas, merdeka dan bermaruah,” katanya.

Loading...
Terkini