comscore
Tumpuan :
Nasional

Buaya 3 meter ditangkap dalam parit

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Kinabalu menangkap buaya sepanjang kira-kira tiga meter dengan berat hampir 200 kilogram di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, tengah malam tadi- FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter ditangkap di dalam parit di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, tengah malam tadi.

Kehadiran reptilia itu disedari oleh beberapa pengunjung yang kebetulan lalu berhampiran kawasan parit di taman awam berkenaan, kira-kira jam 12 tengah malam.

Pegawai APM Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu, jam 12.10 tengah malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota APM Kota Kinabalu diketuai Staf Muda (PA) Safaruddin Rusline kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

FOTO: NSTP

“Menurut laporan, pengadu memaklumkan terdapat seekor buaya di dalam parit di kawasan taman awam berkenaan. Sebaik pasukan operasi tiba di lokasi didapati seekor buaya berada di dalam parit dan operasi menangkap buaya itu segera dijalankan bersama pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota operasi kemudian menggunakan penjerut, tali dan kain untuk menangkap buaya berkenaan.

“Kira-kira setengah jam kemudian buaya sepanjang tiga meter dengan berat kira-kira 180 kilogram itu berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu menggunakan kenderaan.

“APM kemudian memaklumkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mengenai perkara berkenaan dan operasi ditamatkan pada jam 1.09 pagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini