MELAKA: Seorang pengembala kambing tidak menyangka seekor kambing milik majikannya akan menjadi makanan buaya dalam kejadian di tebing Sungai Malim dan Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Jelas Muhammad Nur Iman Ahmad, 24, dalam sekelip mata, kambing betina baka Boer hilang dari pandangannya.
“Saya langsung tidak perasan kelibat buaya itu yang tiba-tiba saja muncul dari air dan terus ‘ngap’ (menyambar) seekor kambing di hadapan saya dan menariknya ke lubuk,” katanya.
Disebabkan kejadian itu, majikannya, Muhammad Hafiz Haiqal Abdullah, 28, kerugian kira-kira RM2,000 selepas kambing betina berusia lebih dua tahun itu dibaham buaya dipercayai spesies buaya tembaga.
“Kambing-kambing ini biasanya bila dilepaskan akan meragut di tepi sungai dan buaya ini pula dalam masa tiga bulan sekali akan muncul di sungai ini kerana ia bersarang dekat muara.
“Sebelum ini memang ada buat laporan kepada pihak berwajib untuk tindakan tetapi buaya gagal dikesan. Di sini bukan saya saja, bagaimana jika berlaku kepada penternak kambing dan lembu yang lain.
“Kami juga bimbang keselamatan pemancing kalangan kanak-kanak dan orang tua yang mungkin tidak biasa di kawasan ini,” kata Muhammad Nur Iman sambil memaklumkan kambing terbabit baru melahirkan dua anak yang kini terpaksa diberi susu botol.
Sementara itu, Muhammad Hafiz Haiqal berkata, kejadian semalam adalah kali ketiga serangan buaya terhadap ternakannya sejak Disember tahun lalu dan merayu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) segera melakukan usaha bagi menangkap reptilia itu sebelum perkara tidak diingini berlaku.
Menurutnya, dia memelihara 60 ekor kambing dari jenis berbiri dan boer untuk jualan sejak kira-kira tiga tahun lalu.
“Sebahagian kambing jantan dan betina yang dijadikan induk akan dilepaskan meragut di kawasan tebing sungai manakala sebahagian yang diternak untuk aqiqah dan korban diberi makan di dalam kandang.
“Memandangkan kawasan tepi sungai ini bukan saja jadi padang ragut, malah tumpuan pemancing saya berharap pihak PERHILITAN bertindak segera demi keselamatan penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Hamzah Ibrahim, 56, turut menyuarakan harapan sama.
Katanya, terdapat kira-kira 3,000 penduduk di sepanjang sungai berkenaan yang selama ini berdepan risiko diserang buaya tembaga termasuk ‘kaki’ pancing.
“Saya lihat bilangan buaya makin bertambah sekurang-kurangnya lima ekor. Dulu kecik, sekarang dah besar dan lebih ganas dengan menyambar kambing yang bergerak di tepi tebing.
“Saya takut, bila air pasang buaya ni akan naik ke tebing dan membahayakan pemancing dan kanak-kanak yang bermain air.
“Jadi saya selaku Timbalan JPJK harap pihak berkuasa PERHILITAN dapat pasang perangkap dan memantau pergerakan buaya terbabit dengan segera, takkan nak tunggu ada mangsa disambar buaya baru nak ambil tindakan.
“Saya lihat sebelum ini macam pesta, orang ramai berkumpul melihat buaya berenang ke hulu dan ke hilir di sungai. Semalam ia menyambar seekor kambing, mungkin kerana lapar,” ujarnya.
Semalam, tular video memaparkan buaya yang membaham kambing terbabit dirakam penduduk.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.