JOHOR BAHRU: Nelayan di Kampung Teluk Jawa dan Senibong di sini, bimbang dengan kehadiran sekumpulan buaya yang didakwa sering kelihatan di sepanjang Sungai Masai.
Selain nelayan yang keluar menangkap ikan, penduduk dan pengunjung Senibong yang menjadi antara destinasi pelancongan turut terserempak kumpulan buaya sama.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, pihaknya menerima aduan daripada nelayan mengenai kehadiran buaya yang dipercayai beralih kawasan bagi mencari sumber makanan, selain tempat berteduh.
Justeru, katanya malam semalam, beberapa nelayan Orang Asli dari Kuala Masai dan Teluk Jawa meninjau keadaan sekitar yang kemudian mengesan beberapa buaya berkeliaran.
Nelayan di Kampung Teluk Jawa dan Senibong, bimbang dengan kehadiran sekumpulan buaya yang didakwa sering kelihatan di sepanjang Sungai Masai.
Sumber: Video tular pic.twitter.com/FKliYHgHWp
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 4, 2024
“Mengikut maklumat, sekurang-kurangnya empat buaya dikesan di kawasan berkenaan. Mereka cuba menangkap buaya dewasa seberat 100 kilogram (kg) ke atas, namun gagal selepas pukat rosak dan keadaan air agak dalam serta berbahaya ketika itu.
“Kebetulan kita sudah membersihkan tong ternakan kupang di Teluk Jawa hingga ke Senibong Cove, mungkin ia mahu mencari tempat untuk berteduh selain mencari makanan,” katanya.
Azli berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pasir Gudang supaya maklumat diberikan menjadi panduan kepada agensi berkaitan untuk mengambil tindakan sesuai.
Beliau berkata, Azli berkata, pihaknya juga menasihati nelayan dari Kampung Bakar Batu hingga Pasir Gudang supaya berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri sehingga mengancam keselamatan masing-masing.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Kuala Masai, Kelah Lah berkata, pihaknya percaya buaya berkenaan tiada tempat berteduh berikutan kerja penambakan yang dilakukan selain pembersihan tong ternakan kupang.
“Sebelum ini kami hanya terserempak seekor buaya saja, namun kali ini lebih banyak dan ia membuatkan nelayan cemas dan ia tidak statik di suatu kawasan, sebaliknya bergerak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.