comscore
Tumpuan :
Nasional

Budak 4 tahun hampir lemas dalam tali air

Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditemui hampir lemas dalam tali air berhampiran rumah neneknya di Kampung Tengah, Mukim Jeneri. – FOTO: Ihsan BSYJM

SIK: Seorang budak lelaki berusia empat tahun hampir lemas dalam tali air berhampiran rumah neneknya di Kampung Tengah, Mukim Jeneri, di sini semalam.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.50 petang ketika mangsa yang juga kanak-kanak autisme itu bermain seorang diri di hadapan rumah neneknya.

Pengarah Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati mangsa, Muhammad Izz Muttaqin Muhamaad Rizal tidak sedarkan diri dan badannya sudah kebiruan.

“Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada, kami berusaha memberikan bantuan menyelamat kepada mangsa.

“Sebaik mendapati mangsa mula memberi tindakbalas, kami memberikan bantuan oksigen dan membawa mangsa ke Hospital Sik untuk menerima rawatan segera.

“Alhamdulillah, keadaan mangsa sedikit stabil dan masih berada di Zon Merah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut nenek mangsa yang hanya dikenali sebagai Hasnah, pada mulanya dia menyangka cucunya mengikuti suaminya ke masjid untuk menunaikan solat Asar.

Namun, disebabkan tidak sedap hati, dia keluar mencari cucunya sebelum ditemui terlangkup dalam tali air sedalam 1.5 meter dan hanyut hampir 50 meter dari rumahnya.

Sebaik cucunya berjaya diangkat, neneknya mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri sebelum jirannya menghubungi pasukan BSYJM.

Ibu bapa kanak-kanak berkenaan menetap di ibu negara dan difahamkan mangsa menetap bersama neneknya sejak kecil.

Mangsa juga pernah menjalani prosedur pembedahan jantung dua tahun yang lalu.

Loading...
Terkini