
IPOH: Seorang kanak-kanak empat tahun yang menjadi mangsa dera ditemui selepas dia merayu meminta makanan dari dalam rumah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kanak-kanak lelaki itu ditemui oleh orang awam yang lalu di hadapan rumah jenis pangsapuri di Menglembu di sini, semalam.
Katanya, ketika ditemui, mangsa tinggal berseorangan di dalam rumah itu yang pintu jerijinya berkunci dan dalam keadaan lapar.
“Mangsa meminta makanan kepada orang awam yang berjalan di depan rumahnya, sebelum saksi melihat terdapat kesan kecederaan pada badan mangsa.
“Saksi kemudiannya memaklumkan kepada polis pada 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, siasatan awal mendapati penjaga kanak-kanak itu hanya meninggalkan roti dan peket minimum malta coklat untuk dimakan sebelum keluar bekerja.
Katanya, susulan itu, polis menahan ibu kandung mangsa berumur 23 tahun serta teman lelakinya berumur 26 tahun di pangsapuri berkenaan kira-kira 7 petang hari sama.
Menurutnya, pasangan itu direman lima hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Terdahulu, ujian saringan air kencing ibu mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci negatif dadah, namun teman lelakinya positif dadah methamphetamine.
Katanya, mangsa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini dan masih dalam pemerhatian, selain dia juga terputus hubungan dengan bapa kandung selepas ibu bapanya bercerai pada 2019.