KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah di kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa di Kuching, hari ini.
Mayat mangsa, Zayyan Nazeem Zainal Abidin ditemui di dalam bilik di tingkat atas sebuah rumah jenis separa kekal kira-kira jam jam 3.33 petang sebaik api dapat dipadamkan sepenuhnya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimanshah berkata ketika kejadian mangsa tinggal bersama neneknya di rumah berkenaan.
“Keberadaan mangsa dalam salah sebuah rumah terbabit dimaklumkan oleh orang awam sebaik sahaja anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
“Ini sekaligus meyebabkan kita bertindak untuk menyelamatkan mangsa namun ia amat sukar kerana api merebak dengan cepat selain struktur rumah terbabit yang tidak stabil dan berbahaya kepada keselamatan anggota kita.
“Struktur binaan bangunan yang lama selain keadaan cuaca panas serta kering turut mengakibatkan api merebak dengan cepat sehingga menjejaskan empat buah rumah lagi,” katanya.
Henderi berkata, dua daripada lima rumah musnah sepenuhnya manakala tiga lagi masing-masing mengalami kemusnahan sekitar 20 hingga 60 peratus.
Seramai 22 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan Padungan terlibat dalam operasi pemadaman selepas menerima panggilan kecemasan jam 1.13 petang.