KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan disambar buaya di jeti di Kampung Seberang Pasar Lama, Tatau, di Bintulu, hari ini.
Mangsa, Cicilia Julan Intik, 6, disambar reptilia itu ketika dia mandi bersama ahli keluarganya di jeti berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu disaksikan datuk mangsa yang turut mandi bersamanya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.21 petang.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau diarah ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi pada jam 7.30 malam, komander operasi melaporkan, kejadian itu benar-benar berlaku kerana berlaku di hadapan mata datuknya.
“Pencarian dilakukan di sekitar jeti dan tebing sungai itu bersama anggota polis selain ahli keluarga mangsa, bagaimanapun mangsa gagal dikesan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.