Tumpuan :
Nasional

Bugar pengalaman Israk dan Mikraj pupuk semangat kerja lebih kuat, disiplin – PM Anwar

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. -FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

KUALA LUMPUR: Pengalaman unik dialami Rasulullah SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj harus dibugar bagi memupuk semangat berkerja lebih kuat dan berdisiplin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia penting bagi mencapai ‘itqan fil amal’ (bersungguh-sungguh dan tekun dalam setiap pekerjaan) serta teguh kepada pengabdian penuh kepada Allah SWT.

Selain itu beliau berkata, ibrah daripada peristiwa besar ini juga penting dalam konteks sejarah umat Islam khususnya peranan dua kota suci Makkah dan Baitulmaqdis.

“Sehubungan itu, ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin yang tertindas dan terus mengalami penjajahan harus menjadi sebahagian sikap konsisten kita dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk rakyat Palestin,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan spiritual yang hadir bersama amanah solat, punya dampak besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat.

“Simbol kepimpinan Baginda Rasulullah SAW mengetuai solat dalam kalangan para Rasul yang lain jua menggambarkan kepentingan umat Islam yang dipayungi oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

Antara peristiwa penting dalam Israk dan Mikraj adalah perintah kewajipan solat fardu lima waktu sehari semalam ke atas orang Islam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini