comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dana judi: Bukan hanya SPRM bertanggungjawab menyiasat – Azalina

 

KOTA TINGGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said meminta mana-mana parti politik berdepan siasatan dakwaan kes jenayah termasuk dana judi agar tidak panik.

Sebaliknya memberi ruang kepada agensi penguatkuasaan selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Tegasnya siasatan ini juga tidak hanya membabitkan satu agensi penguatkuasaan sahaja.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi penguat kuasa lain, boleh melihat dan menilai kes-kes berkenaan. Jangan kita melihat, SPRM sahaja yang bertanggungjawab menyiasat.

“Siapa juga yang terbabit kes jenayah, termasuk politik, jangan panik atau kelam kabut, biarkan agensi yang bertanggungjawab menjalankan siasatan. Saya cuma dimaklumkan mereka ada memberikan maklumat baharu tetapi saya tidak terbabit menjaga SPRM,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat dilaporkan memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekaligus tiada fail siasatan dibuka.

Seterusnya pada 26 Mei, Azalina dilaporkan menjelaskan, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, beliau hanya menyatakan SPRM tidak membuka fail memandangkan maklumat yang diperolehi setakat ini adalah bersifat umum.

Justeru, Azalina dilaporkan berkata, siasatan dakwaan dana judi membabitkan Perikatan Nasional (PN) ketika kempen PRU15 tidak dihenti atau digugurkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei lalu pula dilaporkan mempertahan kenyataannya berhubung dakwaan PN memperoleh dana judi untuk berkempen semasa PRU15.

Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sekiranya tidak mempunyai asas berhubung dakwaan sebelum ini.

Loading...
Terkini