
TAWAU: Polis menolak dakwaan berlakunya kes penculikan membabitkan seorang wanita berhampiran tepi Jalan Pitas Bombalai, dekat sini, kira-kira jam 12.13 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi menjelaskan, ia bukan kejadian culik sebaliknya hanya perselisihan faham antara pasangan suami isteri di lokasi berkenaan.
“Maklumat awal mendapati terdapat saksi (pengadu) yang mendakwa melihat seorang wanita telah diculik oleh dua lelaki dan dibawa masuk secara paksa ke dalam sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna biru.
“Pengadu juga mendakwa mengenali salah seorang daripada dua lelaki terbabit sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan MERS 999,” katanya.
Jasmin berkata, hasil siasatan lanjut bagaiamanapun mendapati kejadian itu bukanlah kejadian culik sebagaimana yang didakwa oleh pengadu.
“Ia sebenarnya hanya melibatkan perselisihan faham antara pasangan suami isteri terbabit dan kedua-dua mereka sudah tampil ke balai untuk memaklumkan perkara sebenar.
“Kedua-duanya sudah berdamai dan perselisihan faham juga sudah diselesaikan secara baik,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.