Tumpuan :
Nasional

Bukan pakar hukum syarak pertikai fatwa, Sultan Selangor zahir dukacita

Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua dari kiri) diiringi Amirudin (dua dari kanan) merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ‘Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah’ di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap individu beragama Islam yang tiada kepakaran berkaitan hukum syarak mempersoal dan mempertikaikan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Sultan Sharafuddin bertitah, penelitian dan pandangan banyak pihak dilaksanakan sebelum sesuatu fatwa diwartakan.

“Beta ingin menyatakan di sini, proses pembuatan sesuatu fatwa dilakukan teliti dengan mengambil pandangan banyak pihak terutama anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan pakar hukum syarak sebelum diangkat bagi mendapat perkenan beta dan seterusnya diwartakan.

“Oleh itu beta menyeru segelintir umat Islam yang sering mempersoalkan mengenai fatwa untuk memahami terlebih dahulu sesuatu fatwa yang dikeluarkan.

“Umat Islam juga perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat apa-apa kekeliruan atau persoalan yang berbangkit,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Tahun 2024 ‘Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah’ di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama melalui pewujudan undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen dan panduan ajaran tasawuf dan tarekat di negeri ini.

“Tindakan penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di Selangor khususnya,” titahnya.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut menyempurnakan Pelancaran, Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (JUFFAS), Sistem Taudhih Al-Ahkam dan Sistem e-Falak Selangor, Jabatan Mufti Selangor.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim dan Exco Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda mengambil maklum antara cabaran yang boleh menimbulkan kerisauan terhadap pengamalan tasawuf dan tarekat apabila terdapat golongan yang tidak memahami ilmu dengan tepat atau belajar dari guru yang tidak berkelayakan dan tiada tauliah lalu menyebarkan secara meluas ilmu atau fahamannya kepada orang ramai.

“Beta melihat penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman yang betul kepada masyarakat melalui usaha agensi agama mahupun institusi-institusi terlibat dengan pengajaran Islam yang sebenar.

“JAIS perlu memastikan semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutama berkaitan akidah, syariah, pengajaran ilmu tasawuf serta pengamalan tarekat mempunyai tauliah dikeluarkan Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Beta juga ingin mencadangkan supaya diwujudkan panduan, silibus khas atau peraturan yang khusus mengenai pengamalan tasawuf dan tarekat di Selangor,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin yakin, dengan kefahaman dan amalan yang benar sudah pasti akan memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah ummah.

“Usaha ini seiring dengan hasrat beta untuk memastikan negeri dan negara ini terus berkembang maju, makmur, rakyatnya sentiasa hidup di dalam keadaan harmoni, bertolak ansur serta bersatu padu,” titah baginda.

Dalam pada itu baginda berharap, program multaqa hari ini menjadi satu langkah penting ke arah penerapan pemahaman yang sebenar mengenai ilmu tasawuf dan tarekat dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini