KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan agensi itu tidak berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang untuk mengambil tindakan kepada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, JAKIM merupakan sebuah agensi agama persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
“Selain itu, JAKIM juga bertanggungjawab kepada Kabinet dalam melaksanakan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang serta garis panduan sebagai sebuah agensi kerajaan.
“Jadi, kenyataan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin melalui media sosial mengenai peranan JAKIM dalam isu GISBH menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai mengenai peranan serta fungsi Jakim,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, PKPU perlu memberikan penjelasan dan mempertahankan fakta yang dinyatakan ekoran pandangan yang diberikan tidak tepat serta tidak mewakili peranan sebenar JAKIM.
Justeru, isu-isu membabitkan penguatkuasaan undang-undang seperti kes GISBH bukan di bawah bidang kuasa JAKIM.
Beliau berkata demikian membidas kenyataan bekas Ketua Pejuang Muda Malaysia, Abu Hafiz supaya JAKIM perlu dirombak kerana didakwa lewat mengambil tindakan terhadap GISBH.
Mengulas lanjut, Mohd Ajib berkata, JAKIM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang.
“PKPU ingin menekankan, dalam konteks isu berkaitan hal ehwal agama Islam, setiap tindakan perlu diambil dengan mematuhi prosedur tertentu, khususnya apabila membabitkan bidang kuasa negeri-negeri.
“Justeru, JAKIM sentiasa mendapatkan nasihat perundangan dan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan diambil adalah selari dengan peruntukan undang-undang,” katanya.
Katanya, PKPU yakin di bawah pimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, JAKIM sentiasa menjalankan tugas secara profesional dan telus tanpa sebarang kepentingan peribadi.
JAKIM pada masa yang sama akan terus berusaha untuk mempertahankan akidah, syariah dan akhlak Islam melalui pendekatan yang bijaksana dan kerjasama erat dengan agensi berkaitan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.