comscore
Tumpuan :
Nasional

“Bukan putar belit tapi kenyataan KP SPRM” – Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak memutar belit kenyataannya yang menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai hipokrit dalam isu pengagihan wang tunai kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kenyataan beliau itu memetik kenyataan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

“Ini bukan putar belit, ini kenyataan rasmi bertulis Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini.

Beliau memberi respons balas kepada kenyataan Dewan Ulama PAS mendakwa Ahmad Zahid berniat mengelirukan orang awam dengan memberikan pandangan sinis terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang kepada pengundi.

Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya dilaporkan berkata, terdapat perbezaan yang jelas di antara amalan rasuah, politik wang dan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya berjalan.

Sementara itu, ditanya sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang, Ahmad Zahid berkata, Jemaah Menteri belum memutuskan perkara tersebut.

Bagaimanapun, katanya, RUU berkenaan adalah sebahagian manifesto parti politik ketika pilihan raya dan semua parti perlu komited untuk bersama-sama terlibat dalam penggubalan RUU itu.

“Saya fikir dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin NGO dan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM harus dijadikan satu panduan bahawa apapun bentuk pemberian ketika kempen pilihan raya dan apa jua istilahnya, itu adalah rasuah politik walaupun namanya sedekah,” katanya.

Sebelum ini, Transparency International Malaysia (TI-M) mendesak supaya Akta Pendanaan Politik disegerakan bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap proses demokrasi di Malaysia.

Loading...
Terkini