comscore
Tumpuan :
Nasional

Bukit Aman saran BNM gubal peraturan berkaitan pelaburan emas

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Nilai emas yang terus meningkat diambil kesempatan oleh sesetengah syarikat pelaburan dalam menarik orang ramai membuat pelaburan berasaskan logam berharga itu, namun kemudian berakhir dengan penipuan dan menyebabkan ramai kerugian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf yang dipetik BH berkata, emas dilihat sebagai aset yang stabil kerana nilainya terus meningkat, sekali gus menjanjikan keuntungan kepada pelabur.

“Mengambil kesempatan ini, banyak syarikat pelaburan dilihat mula menawarkan pelaburan berasaskan emas. Jika harga emas terus dalam trend menaik, maka ramai pelabur akan menjual untuk keuntungan dan pada masa sama, syarikat pelaburan tidak dapat memenuhi tebusan emas terbabit, sekali gus memberi kesan kepada pelabur.

“Melihat rekod siasatan dijalankan polis, kebanyakan skim pelaburan ini akan berakhir dengan penipuan dan kerugian kepada mangsa,” katanya menyarankan Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan peraturan memastikan semua syarikat pelaburan berasaskan logam berharga supaya berdaftar dengan bank pusat itu.

Katanya, polis melihat wujud keperluan mewujudkan satu mekanisme yang lebih mantap untuk memantau dan menyelia skim pelaburan, khususnya berkaitan emas bagi menjamin wang yang dilaburkan, sekali gus mengelak lebih banyak penipuan.

“Kebelakangan ini, pelaburan berasaskan emas mula jadi pilihan berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan mata wang yang sedang melanda seluruh dunia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini