comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Bukit Kepong Berdarah’ waris simpan kebencian terhadap komunis hingga kini 

MUAR: Deklamasi sajak bertajuk ‘Bukit Kepong Berdarah’ pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong Sempena Hari Polis Ke-217 di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini, hari ini, kembali meruntun hati waris anggota polis bantuan yang kehilangan insan tersayang, 74 tahun yang lalu.

Pada majlis bersejarah itu, sajak berkenaan dideklamasikan oleh Timbalan Ketua Balai Polis Tampoi, Yusof Ramji.

Nyata tragedi menyayat hati yang berlaku pada 23 Februari 1950 itu terus meruntun sanubari setiap ahli keluarga yang terlibat.

“Sampai bila-bila saya benci komunis,” kata waris tragedi Bukit Kepong, Fatimah Samad, 76, yang kehilangan ayah tersayang sejak usia tiga tahun.

Bapanya, Samad Yatim antara salah seorang anggota polis bantuan yang terkorban dalam serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong menyebabkan dia bersama dua adiknya membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.

“Sewaktu kejadian, saya masih kecil dan langsung tidak mengerti malah ketika itu, saya tertanya-tanya kenapa ayah tiada?

“Tidak seperti anak-anak lain, mereka dapat kasih sayang daripada ayah. Apabila remaja barulah arwah ibu, Zaharah Karim menceritakan peristiwa sebenar kenapa ayah tiada di sisi kami sewaktu kecil.

“Saya marah dan sehingga kini masih menyimpan kebencian terhadap komunis. Kami bukan sahaja hilang insan tersayang tetapi hilang tempat bergantung,” katanya.

Seorang lagi waris, Mohd Sahar Mahmood, 76, dia turut menjadi yatim selepas bapanya, Mahmood Saad terkorban dalam serangan pengganas komunis di Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia berusia dua tahun ketika serangan hening Subuh itu mengorbankan ramai anggota keselamatan, penduduk kampung dan juga kanak-kanak.

Bapanya, Mahmood Saad yang bertugas sebagai anggota polis bantuan, antara yang terkorban dalam serangan itu selepas terkena tembakan tepat di dahi ketika mahu mengisi peluru senapang patah.

“Waktu itu belum ada perasaan, bila usia semakin meningkat timbullah perasaan sedih atas kematian bapa. Saya tanya pada emak kenapa ayah ditembak?

“Sebab itulah timbul perasaan benci pada kezaliman, sampai sekarang pada usia saya ini, ingatan berkaitan tragedi Bukit Kepong tidak pernah terpadam,” katanya.

Ibunya menceritakan ketika serangan peluru datang dari pelbagai arah dan takdir Allah SWT, ayahnya tumbang ketika berjuang demi negara.

“Apabila memikirkan pengorbanan ayah, saya amat bangga dengannya. Ayah berkorban demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong Sempena Hari Polis Ke-217 di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini, hari ini dirasmikan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Pada majlis itu juga, Kumar turut menyampaikan sumbangan kepada 11 waris mangsa tragedi itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini