comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Buktikan PRU-15 perlu dibatal sebab amalan rasuah’ – Fadillah

 

PUTRAJAYA: Pihak yang masih tidak berpuashati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan mengaitkan dengan amalan rasuah boleh menfailkan dakwaan mereka di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata dengan memfailkan kes, pihak terbabit boleh membawa bersama bukti dakwaan bahawa PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah.

“Dalam proses pilihan raya Malaysia, jika dapat buktikan mereka boleh failkan di mahkamah, ini prosedurnya dan ikutilah.

“Tapi kalau sekadar cakap, saya kira mungkin ramai yang boleh cakap, tapi nak bawa ke mahkamah itu yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan dan segala peraturan kita.

“Jadi bawalah kalau siapa tidak puas hati dan buktikan bahawa PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Amanat Tahun Baharu Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

FOTO: NSTP

Fadillah mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah yang paling korup dengan hampir semua calon menang kerana menawarkan rasuah.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu dalam kenyataan di Facebook mendakwa sogokan dilakukan secara terbuka dan parti calon membelanjakan wang yang banyak untuk berkempen.

“Terdapat sedikit atau tiada percubaan untuk disembunyikan kerana wang itu diberikan dan arahan mengenai simbol yang perlu dipangkah dalam slip mengundi.

Pencegah rasuah dan polis pasti melihat perbuatan rasuah itu, tetapi sehingga kini tiada sesiapa yang telah ditangkap atau didakwa.

“Merasuah pengundi sudah menjadi kebiasaan. Pengundi mengharapkannya, wakil parti menganggapnya sebagai tugas mereka dan mereka yang melihat rasuah itu merasakan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada proses pemilihan,” katanya.

Loading...
Terkini