KUALA LUMPUR: Pelajar tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dibenarkan discaj hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi Buletin TV3 sebentar tadi.
“(Pelajar) Ya dah discaj. (Laporan perubatan) Belum lagi,” jelasnya secara ringkas.
Sementara itu, sumber dalaman memaklumkan kepada Buletin TV3, mangsa telah dibawa pulang oleh ibu bapanya petang tadi.
Difahamkan, ibu bapa mangsa juga telah hadir ke hospital berkenaan awal pagi tadi.
Ia bagi mendengar penerangan daripada pasukan perubatan mengenai laporan perubatan mangsa.
“Dari jam 9 pagi hingga 11 tengahari, semua pakar ada bersama ibu bapa pelajar terbabit. Mereka menerangkan hasil pemeriksaan yang dijalankan pakar perubatan terhadap pelajar terbabit,” jelas sumber.
Bagaimanapun tidak didedahkan hasil laporan perubatan itu.
Sebelum ini, polis telah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelatih junior UPNM yang didakwa mengalami keretakan tulang rusuk dipercayai dipijak penuntut senior.
Pada Isnin lalu, pelatih tahun tiga UPNM yang didakwa memijak juniornya dirakam percakapan oleh polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, susulan laporan dibuat bapa mangsa.
Suspek lelaki itu dipanggil untuk dirakam percakapan untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.