comscore
Tumpuan :
Bencana

Bumbung rumah diterbangkan ribut, kerugian cecah RM30,000

Keadaan bumbung rumah penduduk yang diterbangkan ribut dalam kejadian di Kampung Kuala Jambu, petang tadi.

TUMPAT: Bumbung rumah didiami tiga beranak tercabut dan diterbangkan ribut selepas hujan lebat dalam kejadian di Kampung Kuala Jambu, petang tadi.

Baharum Jusoh, 45, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, dia berada di ruang tamu bersama isteri dan anak perempuan berusia dua tahun.

“Secara tiba-tiba, suasana dalam rumah menjadi cerah dan saya perasan bumbung sudah ghaib sebelum terdengar bunyi yang kuat dari luar.

“Dalam masa yang sama, keadaan dalam rumah juga sudah digenangi air dan saya melihat ke luar rumah mendapati bumbung yang tercabut itu terhalang pada sebatang tiang elektrik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Baharum berkata, dia segera mendukung anak perempuannya dan keluar dari rumah bersama isteri untuk menyelamatkan diri.

Katanya lagi, kerugian yang dialami dianggarkan mencecah RM30,000 membabitkan bumbung serta peralatan dalam rumah.

Terdahulu, mereka dikunjungi Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah yang hadir bertanya khabar.

Sementara itu, seorang saksi, Mohd Saiful Azuan Mohd Nawi, 39, berkata, ketika hujan lebat dan disertai ribut, dia ketika itu berada di kedai kopi beberapa meter dari lokasi.

“Saya memerhatikan rumah saya di bahagian belakang kerana risau berlaku apa-apa yang tidak diingini sebaliknya rumah Baharum di hadapan yang dilanda musibah.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan bunyi hentaman bumbung itu ke tiang elektrik sangat kuat menyebabkan saya serta beberapa pelanggan lain terkejut,” katanya.

Loading...
Terkini