Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Bumbung Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia di Jalan Tuanku Abdul Halim, ibu negara runtuh kira-kira jam 11.55 pagi tadi.
Kejadian itu menyebabkan lima kakitangan mengalami cedera ringan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata insiden berlaku ketika beberapa kakitanganya sedang membuat latihan bagi penganjuran program “Tribute Tan Sri Mohd Kamal Hassan”
“Kejadian runtuhan bumbung itu turut disedari oleh kakitangan yang berada di blok yang lain ekoran bunyi dentuman yang kuat,” katanya
“Pihak IKIM mengambil langkah segera dengan mengalihkan mangsa di tempat kejadian, selain menghubungi pihak bomba, Hospital Kuala Lumpur dan pihak polis agar dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
Ujar Prof. Madya Dr. Mohamed Azam berikutan insiden itu, IKIM akan memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian bumbung runtuh itu.
Katanya Dewan Besar IKIM dibina pada tahun 1993 dan penyelengaraan kecil seperti menukar bumbung yang bocor telah dilakukan sebelum ini.