comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bumbung runtuh: KP IKIM diminta beri kerjasama penuh

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil diminta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian bumbung Dewan Besar agensi itu yang runtuh semalam sehingga mencederakan lima kakitangannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia supaya tindakan sewajarnya diambil untuk menyiasat secara terperinci insiden berkenaan.

“Pada masa sama, saya meminta pengurusan IKIM mengambil langkah keselamatan dengan kadar segera agar tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendoakan kakitangan terbabit diberikan kesembuhan dan dipermudah segala urusan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 pagi semalam, Dewan Besar IKIM yang terletak di Blok B runtuh menyebabkan lima orang kakitangan mengalami cedera ringan.

Insiden berlaku ketika beberapa kakitangan sedang membuat latihan bagi penganjuran program ‘Tribute Tan Sri Mohd Kamal Hassan’ yang dijadualkan pada esok di dewan sama.

Terdahulu, Dr Mohamed Azam dilaporkan berkata, IKIM akan memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian bumbung runtuh tersebut

Untuk rekod, Dewan Besar IKIM dibina pada 1993 dan dalam tempoh itu, penyelenggaraan kecil seperti menukar bumbung yang bocor telah dilakukan.

Loading...
Terkini