comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bumbung tercabut: Proses pembersihan di Pangsapuri Putra Ria selesai dilakukan

 

Oleh: Fahmi Tajuddin

BANGSAR: Proses pembersihan sisa bumbung yang tercabut dan terjatuh di kawasan parkir akibat dilanda ribut kuat semalam di Pangsapuri Putra Ria di sini selesai pada jam 12 tengah hari tadi.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati, kumpulan pembersihan yang turut disertai oleh penduduk membersihkan kawasan parkir berkenaan sejak jam 11 pagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Lembah Pantai Subzon 1 berkata pihak pengurusan bangunan juga sudah menyediakan kelengkapan untuk pengurusan pembersihan kawasan terjejas.

“Untuk sekarang ni, kita dapati bahawa pihak pengurusan bangunan Intra Harta Consultant telah sediakan kelengkapan untuk proses pembersihan hari ini.

“Mereka akan menggerakkan tenaga daripada luar untuk membantu membersihkan kawasan ini. Mungkin ambil masa satu hari atau pun esok sehingga dua hari, itu yang akan dilakukan oleh pihak pengurusan bangunan,” katanya kepada Buletin TV3.

Mengimbas kembali insiden yang berlaku semalam, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri berkenaan berkata ini merupakan kejadian pertama seumpama itu berlaku di pangsapuri berkenaan.

“Sebelum ni pernah berlaku tapi tak seteruk ini. Sebelum ini pun hanya kepingan kecil zink dari bumbung jatuh. Tapi semalam ribut memang kuat jadi itu yang jadi macam ni, buat pertama kali,” katanya.

Tambahnya lagi, segala kerosakan yang berlaku akibat insiden itu telah pun direkod dan dihantar kepada pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk tindakan selanjutnya.

Beliau juga berkata, proses pemantauan secara berkala telah dibincang dengan semua jawatankuasa dan pengurusan pangsapuri untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Semalam, media melaporkan sejumlah enam unit rumah terjejas selepas bumbung tercabut diterbangkan angin manakala enam kereta dan tiga motosikal rosak akibat dihempap kepingan zink daripada bumbung yang jatuh, dalam kejadian kira-kira 5 petang di Blok 94, Apartment Putra Ria, Bangsar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini