comscore
Tumpuan :
Nasional

Bung letak jawatan Presiden SAFA serta-merta

Foto Bung Moktar

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuatkuasa serta-merta selepas memegang tampuk pentadbiran badan induk itu sejak Jun 2021.

Sebelum itu, pada Disember 2020, Ahli Majlis Tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik Bung sebagai pemangku Presiden SAFA dan disahkan sebagai Presiden SAFA dalam mesyuarat agung luar biasa SAFA pada Jun 2021 apabila kesemua badan gabungan sebulat suara memilih beliau menjawat jawatan itu.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, peletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik.

Tambahnya lagi, walaupun mengakui sedikit rasa kecewa dengan pencapaian turun naik pasukan Sabah FC, namun sepanjang beliau mengetuai badan induk bola sepak itu, Pasukan SAFA FC telah berupaya melakukan perubahan dalam tahap pencapaian selain pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi berjaya dilaksanakan.

“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ianya masih ditahap yang masih belum memuaskan.”

“Mengurus badan induk bola sepak khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan dari semua pihak terutamanya dari peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu SAFA khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan ” jelas Bung.

Bung berkata, surat peletakan jawatan secara rasmi juga akan dihantar kepada Setiausaha Agung SAFA dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan.

Beliau juga menegaskan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran itu, tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak di negeri ini.

“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya,” katanya.

Loading...
Terkini