comscore
Tumpuan :
Nasional

Butik pakaian di Bangi terbakar, dua pekerja sesak nafas

FOTO: JBPM

KUALA LUMPUR: Dua pekerja di butik baju Melayu terkenal, Elrah Exclusive di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, dekat sini, mengalami sesak nafas selepas premis itu terbakar, kelmarin.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 2.29 petang dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Operasi pemadaman kebakaran diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan, Rahamat Sabarudin bersama 11 anggota serta tiga jentera termasuk sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebakaran membabitkan longgokan kotak yang terdapat pada ruangan tangga di tingkat tiga premis itu.

“Anggota bomba menggunakan satu aliran air 91 meter daripada air tangki pam jentera, berjaya memadam kebakaran.

“Dua pekerja lelaki di butik itu mengalami sesak nafas dan mereka diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang turut berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 20 dan 21 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan susulan.

Buat masa ini, pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kebakaran.

Pada 11 Januari tahun lalu, sebuah gudang milik Elrah Exclusive di Jalan Kepong, Batu 6 1/2, di sini dilaporkan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi.

Dalam kejadian itu pihak bomba mendapati kebakaran membabitkan kotak dalam gudang berkeluasan 4.8 x 4.8 meter persegi itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini