comscore
Tumpuan :
Nasional

Butir matan palsu: SPRM tahan reman pengarah, pengurus syarikat

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengarah yang juga pensyarah universiti awam dan seorang pengurus sebuah syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan kredit berjumlah kira-kira RM2 juta.

Permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 15 Januari 2024 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Hafizul Awang selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu telah ditahan pada jam 2.30 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Kelantan bagi dirakam keterangan.

“Kedua-dua suspek yang berjawatan Pengarah dan Pengurus di sebuah syarikat yang sama disyaki telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu kepada sebuah anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

“Dokumen mengandungi butiran matan palsu ini bertujuan untuk mendapatkan kemudahan kredit berjumlah kira-kira RM2 juta bagi pembelian lembu pedaging,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek bersama seorang lagi individu yang kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini