comscore
Tumpuan :
Nasional

CAAM sahkan helikopter terhempas aset Maritim Malaysia

PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter jenis AW 139 dengan nombor pendaftaran M72-01 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terhempas di perairan Pulau Angsa, Selangor pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 9.20 pagi namun tiada panggilan kecemasan diterima.

Katanya Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter.

“Terdapat empat penumpang termasuk juruterbang berada dalam helikopter tersebut dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

“Kesemua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 10.58 pagi,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pesawat yang dikendalikan Leftenan Komander Maritim Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat.

Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan dua lagi anggota terlibat ialah kru udara Pegawai Waran I, John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Muhamad Nurhayyat Hashim.

“Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10:15 pagi tadi,” katanya

Katanya, 3 bot Maritim Malaysia negeri Selangor dan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang membantu operasi.

Terdahulu, tular video dan foto kejadian di media sosial menyaksikan sebuah helikopter terhempas ke dalam laut.

Kejadian berlaku kira-kira 5 batu nautik berhampiran Pulau Angsa di Kuala Selangor pagi tadi dan semua mangsa berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini