comscore
Tumpuan :
Nasional

Cabul murid Tahun 1, bekas pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah

TELUK INTAN: Bekas pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas murid perempuan Tahun Satu.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin kepada tertuduh, Mohd Ridzwan Mahmud @ Mahamood, 46.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia tujuh tahun dengan cara meraba dan memegang bahagian kemaluan mangsa di hadapan kelas sebuah sekolah rendah dalam daerah Hilir Perak, di sini, jam 6.45 pagi, 31 Januari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya R Rishan Kumar mencadangkan tertuduh ditawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

Peguam bela tertuduh, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merayu agar mahkamah menawarkan jaminan rendah kepada anak guamnya memandangkan Mohd Ridzwan ialah orang kurang upaya kategori lembab, selain meminta lelaki itu dirujuk kepada pakar psikiatri.

“Anak guam saya baru dipecat daripada pekerjaannya. Beliau hanya tinggal berdua bersama ibunya yang uzur berusia 78 tahun,” katanya.

Mahkamah kemudiaan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu atau mendekati mangsa.

Selain itu, Hakim Intan Nurul Farena turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan mental dan menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan psikiatri.

Terdahulu, suspek dituduh mencabul kehormatan mangsa di kawasan sekolah rendah di sini pada 31 Januari lalu.

Susulan itu, polis bertindak menahan suspek terbabit pada jam 11 pagi hari sama.

Hasil siasatan awal polis, mangsa mendakwa suspek sudah beberapa kali mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadapnya sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini