comscore
Tumpuan :
Nasional

Cadangan buka rumah pelacuran merendahkan martabat wanita

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menempelak cadangan seorang selebriti tempatan supaya rumah pelacuran dibuka kepada warga asing sebagai langkah mengurangkan kes rogol di negara ini.

Nancy berkata, secara peribadi beliau berpandangan apa jua cadangan yang meletakkan wanita sebagai ‘alat’ untuk menyelesaikan masalah sosial adalah merendahkan martabat kaum hawa.

“Kenyataan, cadangan ataupun gurauan yang tidak sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normalisasi.

“Apatah lagi apabila ia secara terangan bercanggah daripada pelbagai sudut, sama ada dari sudut undang-undang, prinsip serta nilai kekeluargaan dan budaya serta agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor dalam sebuah podcast di laman sosial dilaporkan mencadangkan pusat pelacuran perlu ada di negara ini bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing.

Beliau menyifatkan ia perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri masing-masing di negara mereka.

Mengulas lanjut, jelas Nancy, beliau telah menonton klip video tular berhubung cadangan itu.

Sebagai individu yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy menegaskan, kementerian sentiasa memberi fokus terhadap usaha memperkasa wanita dan mengarusperdanakan gender.

Usaha itu melalui pelbagai program bagi meningkatkan penglibatan serta kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang dan menjadi agen pembangunan negara.

Ini termasuk membantu kerajaan menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan wanita mempunyai peluang adil untuk mendapat tempat serta memiliki kerjaya yang baik dan bermaruah, sama seperti peluang yang dimiliki kaum lelaki.

“Kementerian juga sentiasa mempunyai sifar toleransi dalam apa jua bentuk keganasan terhadap wanita sama ada secara fizikal, seksual, emosi mahupun psikologi dan pendirian ini didokong penuh oleh Kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi dan disokong merentasi kementerian.

“Justeru, kesedaran dan publisiti yang positif terhadap hak dan sistem sokongan kepada wanita yang perlu ditanam dan disebarkan kepada rakyat umum, dan bukan sebaliknya.

“Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat yang berilmu dan bertamadun, dan kita perlulah bertindak dengan lebih baik dan bijak di masa hadapan, terutamanya untuk menonjolkan contoh yang terpuji kepada generasi kita yang akan datang,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini