Tumpuan :
Nasional

Cadangan henti pembiayaan: PTPN akan keluarkan kenyataan rasmi

GOMBAK: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan, susulan cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah.

Sebaliknya jelas Zambry, kenyataan secara rasmi akan dikeluarkan badan itu dalam masa terdekat.

“PTPTN akan mengeluarkan kenyataan mereka secara rasmi, saya tidak mahu mengupas atau mengulas kerana mereka ada jawatankuasa yang dibentuk.

“Biarlah mereka keluarkan kenyataan berpandukan kepada mesyuarat yang telah diadakan dan pandangan-pandangan yang telah diberikan berdasarkan mesyuarat tersebut,”jelasnya.

Tambah Zambry, pelbagai aspek perlu dilihat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil oleh badan berkenaan.

Ia termasuk keadaan semasa seseorang peminjam itu terutama yang telah kehilangan pekerjaan sebelum ini.

“Sebenarnya kita jangan buat kesimpulan terlebih dahulu, kerana PTPTN itu melihat semua aspek itu.Sebagai contoh, bulan lalu keluar kenyataan berkaitan mereka yang tidak pernah bayar.

“Saya ingat itu perlu diberi penekanan bukan soal mereka yang bayar kemudian tidak bayar, mungkin ada sebab-sebab tertentu.

“Semua perkiraan itu diambil kerana kita tahu keadaan mereka yang mungkin hari ini kerja, mungkin tahun depan dia diberhentikan dan sebagainya,”katanya lagi.

Dari sudut isu yang dihadapi PTPN kata Zambry, merumitkan lagi keadaan apabila ada sesetengah peminjam yang seolah-olah tidak mempedulikan dengan pembayaran balik kepada badan terbabit.

“Hal-hal sebegitu pun kita ambil kira dan paling mustahak adalah interaksi baik ada di antara mereka dengan pihak PTPTN supaya kita tahu keadaan dan kedudukan serta kesusahan mereka dan sebagainya.

“Ada kes kita sebut dulu mereka yang langsung sejak hari pertama sampai sekarang tidak peduli apa, itu kita beri perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke 40 di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan UIAM (ICC) UIAM Kampus Gombak di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah.

Jelasnya, ia sebahagian usaha dengan universiti tempatan untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.

Bagaimanapun, katanya, pembiayaan akan diteruskan bagi kursus dengan kadar bayaran balik yang tinggi.

Sehingga kini, PTPTN telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM74 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini