comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cadangan kemasukan pelajar bukan Bumiputera cubaan ganggu-gugat objektif penubuhan UiTM 

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membidas tindakan pihak tertentu yang sengaja mempolemikkan isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau menegaskan, tindakan pihak tersebut memainkan isu berkenaan disifatkan sebagai cubaan menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.

“Merujuk kepada isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM, saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya bahawa isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahupun peringkat Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, seperti kenyataannya pada 2 Mei lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.

“KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar mencadangkan membuka program itu kepada bukan Bumiputera bagi tempoh sementara, sementara menunggu penubuhan program serupa oleh Universiti Malaya.

Beliau berkata cadangan itu bagi menangani masalah kekurangan pakar dalam bidang kardiovaskular.

Bagaimanapun, cadangan terbabit ditolak beberapa entiti termasuk Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM).

Malah Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) UiTM menggerakkan kempen bagi membantah cadangan berkenaan dan menyeru semua penuntut mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai tanda bantahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini