Tumpuan :
Nasional

Cadangan kerja empat hari setengah: Kerajaan Persekutuan perlu dapatkan maklumat lebih jelas

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berucap pada majlis penutup Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu meneliti terlebih dahulu cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam kepada hanya empat hari setengah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata pihaknya perlu mendapatkan gambaran dan maklumat lebih jelas dari segi kesan menerusi akses terhadap dasar berkaitan.

Mengakui belum melihat kesan positif terhadap peningkatan kualiti dan mutu kerja setakat ini, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Itu satu policy call (penetapan dasar). Oleh kerana itu kerajaan Johor punya keputusan, kita akan teliti dahulu.

“Buat masa ini Kerajaan Persekutuan belum ada hasrat memperkenalkan waktu kerja empat hari setengah.

“Saya tak boleh beri komen (berhubung kesan terhadap produktiviti kerja) sebab belum nampak lagi pelaksanaannya, baru diumumkan,” katanya selepas merasmikan penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Beliau mengulas sama ada Kerajaan Persekutuan bercadang mengikut langkah kerajaan Johor yang mempertimbang untuk mengubah waktu bekerja dalam sektor awam kepada empat hari setengah.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini