comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi diesel: KPDN pertimbang tambah kuota, jenis kenderaan

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti asas permohonan dan rayuan berkaitan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Dalam kenyataan hari ini, Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan yang dikemukakan terus oleh beberapa pihak itu akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

Menurutnya, antara syor yang dikemukakan adalah mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah SKDS.

Syor lain adalah meningkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.

“Jawatankuasa Rayuan akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri,” katanya.

Ujar beliau, Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel dianggotai KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pada Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula kelmarin (10 Jun) di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah SKDS.

Menerusi SKDS 1.0, sektor pengangkutan awam darat berkelayakan termasuk ambulans dan bomba kekal membeli diesel pada harga RM 1.88 seliter.

Bagi SKDS 2.0, kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah fleet card bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini