comscore
Tumpuan :
Nasional

Caj Akses Sistem program CRESS ditetapkan 25 sen dan 45 sen

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Caj Akses Sistem (CAS) untuk Program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) ditetapkan pada kadar 25 sen dan 45 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj).

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, CAS bagi ‘output’ bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) berbentuk ‘firm’ ditetapkan pada kadar 25sen/kWj.

Selain itu, CAS bagi ‘output’ bekalan elektrik yang dijana daripada sumber TBB yang berbentuk ‘non-firm’ ditetapkan pada kadar 45sen/kWj.

“PETRA sebagai kementerian yang menerajui inisiatif peralihan tenaga sektor bekalan elektrik dan pembangunan tenaga lestari negara mempelawa penyertaan syarikat korporat dalam program CRESS bagi memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) masing-masing.

“PETRA juga yakin program CRESS mampu menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti terpasang TBB kepada 70 peratus pada tahun 2050,” katanya.

Menurut PETRA, langkah itu juga bakal mengukuhkan lagi aspirasi nasional dalam mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api fosil.

Sehubungan itu, PETRA meminta pemain industri dan pemegang taruh merujuk dokumen kawal selia berkaitan pelaksanaan program CRESS.

Ini termasuk panduan serta kadar CAS di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di pautan https://www.st.gov.my/eng/web/industry/details/16/25.

“Maklumat mengenai jenis output bekalan elektrik dan kadar CAS yang dikenakan telah diperincikan di dalam Garis Panduan CRESS,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini