comscore
Tumpuan :
Nasional

Caj tersembunyi penjualan telur ayam disiasat

Foto hiasan

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyiasat lanjut dakwaan peniaga mengenakan caj tersembunyi penjualan telur ayam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, ianya hasil maklumat awal diterima pihaknya yang memaklumkan peniaga terpaksa mengenakan kos tambahan kepada pembeli disebabkan terpaksa menanggung kos yang tinggi.

Beliau berkata, peniaga tidak kira sama ada peniaga runcit atau kedai besar (pasar raya) tidak sepatutnya mengenakan caj tambahan memandangkan telur ayam adalah di bawah harga kawalan.

“Sekiranya barangan itu di bawah harga kawalan, tidak kiralah yang meniaga itu kedai runcit atau kedai besar, harganya masih dikawal.

“Namun, kita juga ambil maklum bahawa terdapat sesetengah kedai runcit yang menerima harga tinggi daripada pembekal menyebabkan mereka terpaksa menjual pada harga mahal.

“Jadi, siasatan sedang dilakukan oleh bahagian penguat kuasa yang bertanggungjawab untuk menyiasat perkara itu dan kita akan tengok di lapisan mana yang kenakan (caj) lebih itu,” katanya.

Fuziah berkata, peruncit masih mampu mendapat keuntungan dengan harga kawalan telur ayam yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas berkaitan kes peruncit yang diberikan notis berikutan mengenakan caj tambahan terhadap penjualan telur ayam di sekitar daerah Kubang Pasu, pada Isnin lalu.

Sebelum itu, Fuziah melancarkan Aduan Suri dan Peremajaan Semula Aduan KPDN ‘Aduan Suri’ bersempena Karnival Jualan Rahmah di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar di Jalan Stadium, di sini, hari ini.

“Namun, sebenarnya kita pun tidak menyalahkan peruncit sebab sekiranya masalah dia hendak dapatkan bekalan itu mungkin diperolehi dengan harga mahal.

“Kita dapati ada beberapa kes sebegini, jadi kita pun hendak tengoklah dari segi dia punya bekalan di peringkat mana yang kita boleh perbaiki,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fuziah menyatakan, KPDN adalah sekretariat yang sentiasa terbabit dengan kementerian lain dalam menangani isu berkaitan kos sara hidup.

Loading...
Terkini