comscore
Tumpuan :
Nasional

Calon sah bertanding tidak boleh tarik diri – SPR

PUTRAJAYA: Calon yang sudah disahkan bertanding di mana-mana kawasan pilihan raya, dilarang menarik balik pencalonannya selepas tamat tempoh penamaan calon.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata seseorang calon hanya boleh menarik diri dalam tempoh dari jam 9 hingga 10 pagi pada hari penamaan calon.

“Tiada penarikan diri boleh dibuat selepas jam 10 pagi selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihanraya) 1981,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) yang mahu memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Terdahulu BH melaporkan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata tindakan itu diambil sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri dan Nasional.

Beliau dilaporkan berkata, AMANAH melihat keperluan mewujudkan perpaduan erat dalam kalangan komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 bagi kerusi DUN Tioman.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu, media pernah melaporkan Datuk Ali Biju, yang ketika itu bertanding sebagai calon bebas, tidak boleh membuat keputusan menarik diri selepas proses penamaan calon selesai.

Laporan yang memetik Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), menyatakan, SPR tidak akan mengeluarkan nama calon yang berhasrat menarik diri daripada pencalonan dan ia akan terus kekal pada kertas undi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini