Tumpuan :
Nasional

Caprice mohon maaf kepada SM Faisal, tawar kereta percuma kepada ‘follower’

Kes saman fitnah ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice, diselesaikan secara baik di luar mahkamah, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kes saman ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice diselesaikan secara baik selepas Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 36, membuat permohonan maaf di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Saman fitnah itu berhubung hantaran berbaur fitnah yang didakwa dilakukan selebriti berkenaan menerusi laman Instagramnya mengenai kes bekas isteri SM Faisal, Emilia Hanafi.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal berkata, prosiding diadakan dalam kamar di hadapan Hakim, Azian Othman.

Akberdin ketika ditemui media berkata, Caprice juga perlu memohon maaf dalam tempoh 48 jam menerusi Instagramnya.

“Terma lain dalam penyelesaikan kes termasuk jumlah kos (perlu dibayar oleh Caprice kepada anak guam) adalah sulit,” katanya.

SM Faisal pula menzahirkan rasa syukur kes diselesaikan secara baik.

Sementara itu, Caprice memaklumkan akan menghadiahkan sebuah kereta jenis Kia Sportage kepada pengikutnya di Instagram, sempena penyelesaian kes berkenaan.

“Kedua-dua pihak setuju selesaikan kes itu secara baik. Saya nak bagi kereta percuma yang dibeli sebelum ini dan buat kempen hentikan keganasan rumah tangga.

“Saya juga akan minta maaf di Instagram, penjelasan mengenai tindakan itu akan diberi,” katanya.

FOTO: NSTP

Penyanyi itu diwakili peguam, Harjoth Singh.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen  menerusi Tetuan Akberdin & Co, pada 15 Ogos tahun lalu dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan SM Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan niat jahat tanpa sebarang rujukan atau pengesahan daripada pihak plaintif.

Loading...
Terkini