comscore
Tumpuan :
Nasional

Cari masa dan luangkan waktu untuk bertadarus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Peristiwa Nuzul Quran yang berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan bersamaan tanggal 6 Ogos tahun 610 Masihi ketika Nabi Muhammad SAW sedang beribadat di Gua Hira adalah detik penting turunnya ayat pertama al-Quran kepada baginda Rasulullah.

‘Nuzul’ perkataan bahasa Arab bermaksud turun dan lima ayat Surah al-Alaq diturunkan oleh Allah SWT kepada baginda Rasulullah melalui Malaikat Jibril, menekankan pentingnya membaca dan belajar pelbagai ilmu supaya dapat menghapuskan kejahilan dalam kalangan manusia.

Penurunan ayat al-Quran itu kemudiannya berterusan secara berperingkat-peringkat sehingga lengkap keseluruhan 30 juzuk yang mengambil masa selama 23 tahun. Maka tidak hairanlah pada Ramadan yang penuh keberkatan ini, ramai yang bertadarus al-Quran (majlis membaca al-Quran secara berkumpulan) termasuk di masjid dan surau.

Namun bukan semua orang mampu menghadirinya disebabkan pelbagai kekangan termasuk tuntutan pekerjaan. Oleh itu, apakah kaedah terbaik bagi kita mencari masa dan meluangkan waktu yang ada demi terus membaca dan mentaddabur (perenungan yang menyeluruh untuk mengetahui maksud dan makna) al-Quran?

Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Hafiz Saleh ketika berkongsi pandangannya berkata, umat Islam seharusnya berusaha ‘mencuri’ masa yang ada untuk mula membaca kitab suci itu, berbanding hanya menunggu masa lapang yang sesuai untuk melakukannya.

Menurut beliau, seandainya pembacaan al-Quran itu dijadikan sebagai sesuatu yang perlu diutamakan dalam kepadatan jadual, sudah pasti Allah SWT akan membukakan jalan yang luas untuk memudahkan urusan harian yang lain.

“Mengambil hikmah serta pedoman daripada asbab penurunan al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun itu, kita dapat melihat betapa Rasulullah sangat bersabar ketika dibacakan ayat al-Quran oleh Malaikat Jibril dan seterusnya sanggup pula meluangkan masa demi mengajarkannya kepada sahabat Baginda.

“Demi menghargai jasa besar Rasulullah dan sahabatnya, kita perlulah memanfaatkan kitab suci ini dengan menjadikannya sebagai sumber motivasi diri. Lihatlah betapa besar ujian dihadapi para nabi dan rasul terdahulu, namun semuanya tetap dihadapi dengan tenang dan penuh taqwa (ketakutan kepada Allah).

“Sama juga seperti apa yang kita lalui pada zaman sekarang, biarpun banyak liku perlu ditempuh, namun berkat ketaqwaan dan yakin kepada-Nya menerusi usaha kita memperbanyakkan bacaan al-Quran, maka pasti Allah akan tunjukkan solusi yang didambakan pada masa yang tidak disangka-sangka,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, sekiranya umat Islam mentaddabur kisah ujian Nabi Yunus yang ditelan ikan paus di tengah lautan sehingga menjadi buntu, namun berkat kesabaran dan doa tidak putus-putus kepada Allah maka baginda akhirnya berjaya diselamatkan oleh Allah.

“Kisah-kisah penuh inspirasi sebegini hanya dapat kita ketahui sekiranya kita tetap rajin menelaah dan membaca al-Quran. Oleh itu marilah kita berusaha untuk membaca dan merenung makna al-Quran setiap hari, walaupun hanya untuk beberapa minit. Ia adalah cara paling ampuh untuk berhubung dengan Allah serta mencari bimbingan-Nya dalam hidup kita,” nasihatnya.

Beliau menambah, amatlah rugi mereka yang membaca al-Quran namun tidak berusaha memahami kandungannya, sepertimana firman Allah dalam surah Muhammad, ayat 24 yang bermaksud “Adakah manusia sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini