comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Celine Dion buat kejutan, tampil di Anugerah Grammy Ke-66

Celine Dion

LOS ANGELES: Ikon pop dunia, Celine Dion yang sedang berjuang melawan penyakit sindrom orang kaku atau ‘stiff person syndrome’ (SPS) yang dideritainya sejak 2022 membuat kejutan apabila muncul pada Anugerah Grammy Ke-66 yang berlangsung di Crypto.com Arena, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Tampil anggun menggayakan persalinan busana kot labuh dan gaun berjenama mewah rona ‘mustard’, kemunculan Dion meyampaikan trofi Album Terbaik yang dimenangi Taylor Swift mendapat ‘standing ovation’ serta sorakan penonton yang begitu merinduinya.

Ini adalah julung kali penyanyi ‘My Heart Will Go On’ itu muncul di khalayak ramai selepas disahkan menghidap penyakit SPS yang masih belum ditemui penawarnya itu.

“Terima kasih semua. Bila saya katakan sangat teruja berada di sini, bermakna ia datang daripada hati yang ikhlas,” ungkap penghibur berusia 55 tahun itu.

Ditemani anak lelakinya atas pentas, Dion sempat menitipkan pesanan berharga buat tetamu yang menghadiri anugerah berprestij itu.

“Bagi mereka yang berpeluang hadir dalam acara ini, janganlah sia-siakan rasa cinta luar biasa dan kegembiraan muzik yang diberikan kepada kita dan insan di seluruh dunia,” ujar Dion.

Kemunculan Dion dengan pantas menjadi bualan netizen apabila rata-rata memuji penampilannya masih cantik, tubuh agak berisi dengan imej rambut potongan pendek yang membuatkan wajahnya lebih segar.

Pada Disember 2022, penyanyi bervokal ampuh itu memuat naik video sebak di Instagram (IG) memaklumkan baru dikesan mengalami sindrom SPS dan tidak dapat meneruskan konsert siri jelajah Eropah dan konsert musim bunga 2023.

Menerusi perkongsian sama, penyanyi kelahiran Kanada itu memberitahu serangan SPS mengakibatkan ototnya tidak dapat dikawal sehingga mengganggu percakapan dan berdepan masalah berjalan. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini