comscore
Tumpuan :
Nasional

Cemari udara persekitaran, JAS hentikan operasi kilang arang

Pegawai JAS Kedah melakukan pemeriksaan di sebuah kilang dalam ‘Ops Kabut’ yang dilakukan selama tiga hari. – FOTO: Ihsan JAS

SUNGAI PETANI: Sebuah kilang produk arang briket (charcoal briquette) di sini diarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah agar menghentikan operasi selepas dikesan gagal menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara sehingga mencemari kawasan penduduk sekitarnya.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya bertindak berdasarkan aduan orang ramai berkaitan masalah bau dan asap yang mengganggu kehidupan harian penduduk di daerah itu.

Berikutan itu katanya, JAS Kedah melaksanakan operasi antara ‘Op Kabut’ bermula 6 Jun hingga semalam, untuk mencari punca pencemaran dan memeriksa premis yang berpotensi menjadi punca pencemaran.

“Kawasan yang terjejas dengan pencemaran ini adalah sekitar Ambangan Height, SP Height, SP Saujana dan Bintang Maya Residence di daerah itu.

“Berdasarkan makluman orang awam yang diterima menyatakan pencemaran sering berlaku pada awal pagi.

“‘Ops Kabut’ dilaksanakan bertujuan memantau aktiviti kilang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau terutama punca yang berpotensi menghasilkan pelepasan bendasing ke udara dan keberkesanan sistem kawalan pencemaran udara bagi setiap kilang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, dalam operasi itu, JAS Kedah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap kilang produk arang berkenaan dengan serta-merta.

Beliau berkata, tindakan itu diambil bagi menghentikan operasi yang yang menyebabkan pencemaran udara dan pihak kilang diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan serta penambahbaikan bagi menangani masalah berkenaan.

“Kilang itu juga didapati tidak mempunyai Orang Yang Berwibawa (OYB) untuk menjalankan kerja pemantauan dan pengendalian kelengkapan kawalan pencemaran.

“Sehubungan itu, pihak industri diingatkan akan keperluan sentiasa menyelenggara kelengkapan kawalan pencemaran dan keperluan untuk mempunyai OYB seperti dinyatakan mengikut Seksyen 49A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu setiap premis industri hendaklah mempunyai seseorang yang diperakukan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar sebagai Orang Yang Berwibawa (OYB) bagi aktiviti yang membabitkan pengendalian kelengkapan kawalan pencemaran atau pengurusan buangan terjadual,” katanya.

Katanya, JAS Kedah menyeru orang ramai untuk bekerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan http://easyan.doe.gov.my

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini