comscore
Tumpuan :
Nasional

Cemas terserempak gajah mandi

GUA MUSANG: Dua pemancing berdepan detik cemas apabila terserempak dengan gajah betina yang sedang mandi di Sungai Ketil, berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Fahamie Qhodrad Sibaweh, 30, bersama adik iparnya Wan Mohd Haikal Wan Mohd Zulkifli, 18, pergi ke sungai terbabit untuk memancing.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Fahamie, berkata, dia sempat merakam aksi gajah betina terbabit yang sedang mandi selama 25 saat.

“Ini bukan pertama kali saya melihat gajah, namun tetap terkejut kerana dia muncul di kawasan bandar. Malah sungai ini menjadi tempat kanak-kanak mandi.

“Sungai ini juga berhampiran kawasan perumahan yang mempunyai ramai penduduk, jadi berbahaya kepada penduduk berhampiran yang tidak sedar kehadiran haiwan liar ini.

“Hampir satu jam gajah betina terbabit berada di sungai dan sempat dilihat oleh hampir 50 penduduk PPR,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Manakala Wan Mohd Haikal berkata jarak haiwan liar itu kira-kira 50 meter dari tempat dia memancing.

“Gajah itu berada depan saya. Tiba-tiba dia muncul tanpa sebarang bunyi. Memang mendebarkan kerana ia haiwan liar dan berkeliaran di kawasan penempatan.

“Ini adalah kali pertama haiwan liar itu ditemui di sekitar Sungai Ketil berhampiran PPR ini.

“Pada mulanya saya nampak gajah itu ingin menuju ke hutan berhampiran landasan kereta api, namun berpatah balik ke Sungai berhampiran PPR apabila melihat ramai orang di atas jambatan PPR,” katanya.

Semalam, tular video di media sosial Facebook dan WhatsApp apabila seorang pemancing merakam kelibat gajah betina di sungai berhampiran PPR Gua Musang

Video itu memaparkan seekor gajah yang dipercayai sedang mandi dan minum air sungai itu.Gajah itu juga dilihat melintas sungai berkenaan sebelum menghilangkan diri ke kawasan hutan berhampiran. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini