comscore
Tumpuan :
Nasional

CEO GISBH dan isteri cabar penahanan salah bawah SOSMA

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Sercives and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali hari ini memfailkan permohonan habeas corpus bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Permohonan bagi mencabar penahanan salah itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini bersama isterinya, Datin Azura Md Yusof, 57, dan Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28.

Mohamad Suhaimi dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi mengikut SOSMA, petang ini.

Nasiruddin, 67, Azura dan Suhaimi selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia, sebagai responden.

Permohonan difailkan barisan peguam diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.

Berdasarkan permohonan itu, perintah supaya writ habeas corpus dikeluarkan bagi membebaskan pemohon daripada tangkapan dan penahanan tidak sah oleh responden, selain pemohon perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan 4 Disember depan bagi pendengaran permohonan berkenaan bagi membolehkan peguam mewakili pemohon dan responden memberikan hujahan masing-masing.

Terdahulu malam tadi, bantahan awal difailkan peguam responden yang diwakili Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Saidani Ali.

Turut hadir pada prosiding hari ini adalah tiga peguam mewakili Majlis Peguam Malaysia, iaitu R Jayabalan, Fadhil Ihsan Mohamad Hassan dan Khairul Azwad, yang memantau bagi kepentingan awam.

Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Suhaimi didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan kesemua 19 individu lain kerana kes itu mengikut SOSMA yang berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Sementara itu, Rosli yang ditemui media kemudian, berkata permohonan sama akan difailkan di Selangor dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Kita failkan bermula di Johor Bahru kerana siasatan membabitkan juga kes-kes di sini dan premis perniagaan yang disiasat, antaranya berada di Johor Bahru.

“Ini adalah hak tertuduh bagi mempertikaikan penahanan yang dibuat, begitu juga akan ada permohonan bagi mempertikaikan tuduhan di bawah jenayah terancang.

“Ada beberapa afidavit lagi akan difailkan bagi menyokong permohonan habeas corpus sebelum pendengaran kes bersambung pada 4 Disember ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini