Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) menasihati orang ramai untuk menggunakan laluan alternatif FT059 Jalan Tapah – Cameron Highlands sebagai jalan perhubungan sementara, susulan runtuhan cerun Kilometer 43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Dalam satu kenyataan JKR Daerah Kinta memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR bagi mengenalpasti punca runtuhan dan kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan.
Pemantauan berterusan juga akan dijalankan sebagai langkah persediaan awal untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.
Laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands ditutup bermula 5 petang tadi, susulan runtuhan yang berlaku pada Kilometer 43.4 pada 23 Oktober lalu, kira-kira jam 8.00 pagi.
JKR Kinta dan pihak konsesi Jalan Persekutuan telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan ke lokasi kejadian bagi siasatan dan penyediaan keperluan kawalan trafik di lokasi kejadian.
Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di lokasi kejadian katanya, dipasang serta-merta dengan penutupan sepenuhnya satu lorong dengan kawalan dan pemantauan 24 jam dari pihak konsesi.
Pemantauan mendapati runtuhan cerun masih aktif sepanjang masa walaupun cuaca baik dan dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya hujan.
Situasi ini mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya kerana kemungkinan runtuhan pada skala besar akan berlaku jika pergerakan tanah masih berlarutan.
Justeru, notis penutupan jalan telah dikeluarkan berkuatkuasa bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan jalan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.