comscore
Tumpuan :
Nasional

China hargai pendirian PM mengenai ‘Fobia China’

Menteri di Kedutaan China di Malaysia, Zheng Xuefang (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan)

KUALA LUMPUR: China menghargai pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ‘Fobia China’ oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.

Menurut Menteri di Kedutaan China di Malaysia, Zheng Xuefang, kenyataan Datuk Seri Anwar itu mencerminkan hasrat negara membangun dalam merealisasikan matlamat kemerdekaan dan pembangunan mereka.

“Kami sangat menghargai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar baru-baru ini, yang mengecam ‘Fobia China’ dalam kalangan sekutu AS dan Barat selain mendokong persahabatan Malaysia-China.

“Pembangunan China membuka peluang kepada dunia, dan bukan ancaman kepada sesiapa,” katanya .

Zheng berkata Malaysia adalah jiran mesra China yang bersandarkan diplomasi kejiranan China, sambil menambah bahawa ia akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu.

Datuk Seri Anwar dalam temu bual dengan Financial Times bulan lalu dan sekali lagi semasa lawatan rasminya ke Australia minggu ini menegaskan bahawa hubungan dengan China tidak boleh ditentukan oleh mana-mana negara lain, “kami bebas sepenuhnya’’, katanya.

Perdana menteri juga mengecam sentimen ‘Fobia China’ yang semakin meningkat dalam kalangan negara Barat.

Sementara itu, Zheng berkata China akan bekerjasama rapat untuk menyokong Malaysia dalam memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ehwal ASEAN dan antarabangsa, dan mendorong hubungan ASEAN-China serta kerjasama Asia Timur ke tahap yang lebih tinggi.

Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan dan penyelaras ASEAN-China pada Julai depan.

Diplomat itu berkata, China turut menyokong idea Tabung Kewangan Asia serta inisiatif sidang kemuncak tiga hala ASEAN-China-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar.

“Kami berharap Malaysia dapat bekerjasama dengan semua pihak dalam ASEAN secara aktif dan mejayakan pelaksanaan awal inisiatif yang berkaitan,” katanya.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dua hala Malaysia-China dan Tahun Persahabatan Malaysia-China.

Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik rasmi pada 31 Mei 1974. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini