Tumpuan :
Nasional

China lanjut pengecualian visa pelancong rakyat Malaysia 30 hari bermula akhir bulan ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang memasuki China bakal menikmati pengecualian visa pelancong sehingga 30 hari berbanding ketika ini 15 hari.

Kedutaan China dalam kenyataan di laman sosial Facebook memaklumkan, tempoh itu bermula 30 November sehingga 31 Disember ini.

“China meluaskan skop dan memanjangkan tempoh menetap rakyat Malaysia yang termasuk dalam kategori tersenarai dasar perintis pengecualian visa China ke Malaysia, berkuat kuasa dari tengah malam pada 30 November hingga tengah malam pada 31 Disember 2024 (waktu Beijing).

“Pemegang pasport biasa rakyat Malaysia yang datang ke China untuk tujuan perniagaan, bersiar-siar, melawat saudara-mara atau rakan-rakan, transit dan yang menghadiri program pertukaran, boleh masuk ke China tanpa visa dan tinggal di negara itu tidak melebihi 30 hari.

“Mereka yang tidak termasuk dalam kategori yang disenaraikan di atas masih perlu mendapatkan visa sebelum pergi ke China,” katanya.

Mei lalu, China bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong Malaysia dari 15 ke 30 hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, persetujuan itu dicapai ketika kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang, kelmarin.

Pada November 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai 1 Disember tahun sama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata, pengecualian itu bagaimanapun tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara berkenaan yang berhasrat memasuki Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini