comscore
Tumpuan :
Nasional

Cinta pandang pertama pasangan OKU, kini meniti bahagia 3 dekad

Oleh: Izzatie Rizan

KLANG: Suami mengalami ketidakupayaan kaki, manakala si isteri dilahirkan kerdil serta memerlukan penggunaan kerusi roda.

Namun pasangan suami isteri kurang upaya (OKU) ini, tidak menganggap kekurangan diri sebagai penghalang untuk hidup bahagia seperti pasangan lain.

Dikurniakan tiga anak serta enam cucu, cinta pasangan Hussin Munawar Rafi 50, dan Fatimah Aziz 52, yang berputik sejak usia belasan tahun kekal mekar.

Malah tidak pernah berenggang menjadi kunci kebahagian bahtera 32 tahun mereka.

Berkongsi kepada Buletin TV3, Hussin berkata dia mengenali isterinya 33 tahun lalu, ketika sama-sama menyertai kelas jahitan di Cheras ibu negara.

Katanya, kali pertama bertemu Fatimah, dia terus jatuh hati biarpun menyedari wanita itu bertubuh kerdil.

“Saya waktu itu berusia 17 tahun dan orang rumah berusia 19, masing-masing tak kenal antara satu sama lain.

“Hinggalah satu hari isteri menjadi pelajar baharu di kelas jahitan kami. Disebabkan saya agak mahir, guru meminta saya mengajar Fatimah, daripada situlah cinta kami mula berputik.

“Kami mengambil masa setahun untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum membuat keputusan untuk berkahwin dan saya terharu keluarga isteri sudi menerima walaupun menyedari kekurangan saya tidak seperti insan normal lain,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Delek, di sini.

Selepas disatukan, pasangan ini menjadikan bidang jahitan sebagai punca pendapatan mereka.

Bekerja dari rumah, gabungan idea mereka disukai pelanggan kerana tempahan yang siap tepat pada waktu selain mahir menjahit baju uniform, fesyen mahupun busana perkahwinan.

“Selepas disatukan kami saling melengkapi dan sering membantu antara satu sama lain dan Alhamdulillah, kami bahagia dengan kurniaan cahaya mata termasuk enam cucu.

“Dalam rumah semua benda kami buat bersama, contoh kalau dia menjahit, saya turut menjahit. Dia memasak, saya pun bantu memasuk. Maksudnya apa yang dia buat saya akan buat sama…lama kelamaan jadi seronok dengan rutin harian kami,”katanya.

Ketika ditanya mengenai petua atau pun ‘rahsia’, mengekalkan keharmonian rumah tangga sehingga lebih 30 tahun, Fatimah berkata, setiap pasangan perlu bertolak ansur selain sering beralah ketika bertengkar atau berselisih faham sesama mereka.

“Sebagai isteri, buatlah tanggungjawab sebagai isteri. Mana yang suami suka lakukanlah dan jika dia tak suka jangan buat.

“Saya dan suami memang tak pernah berjauhan. Dia sentiasa ada di rumah. Sakit dan sihat kami tetap bersama,” tambahnya.

Biarpun kini kudrat tidak sekuat ketika usia muda, kongsi Hussin, anak-anaknya tidak mewarisi minat mereka.

Namun selagi hayat dikandung badan, pasangan ini akan tetap gigih meneruskan kerjaya jahitan yang menjadi punca pertemuan mereka.

Loading...
Terkini